Wednesday, November 18, 2009

Menguruskan kemenangan

Menguruskan kemenangan
Zukri Aksah

Mempertahankan apa yang diperolehi lebih sukar dari usaha memperolehinya. Dahulu saya hanya percaya premis ini sekadar satu teori. Apabila saya berjaya melangkah kaki ke universiti, saya dapati yang susahnya adalah untuk sampai ke sana, bila sudah bergelar mahasiswa pandai-pandailah jaga diri, untuk tercampak keluar semula dari menara gading adalah sesuatu yang mustahil bagi saya, kecuali anda bodoh dalam menguruskan diri sendiri. Pengalaman peribadi saya ketika itu menidakkan teori di atas.

Dalam dua dekad ke belakang ini (1990 – 2009), hidup saya hanya boleh dibahagikan kepada dua bahagian, bahagian pertama sebagai warga kampus (dari matrikulasi ke ijazah pertama) dan bahagian kedua pula sebagai politikus.

Tanggal 4 April 1999 saya mula menggauli politik, mendaftar sebagai ahli Parti Keadilan Nasional (kini Parti Keadilan Rakyat). Bermula 1999 hingga 2007 saya menjadi ahli politik, seorang politikus yang aktif juga. Tempoh itu adalah tempoh perjuangan, perjuangan berusaha memperolehi kemenangan. Ia sememangnya tempoh yang sukar, saya percaya tidak seorang pun yang pernah mencium bau reformasi di ketika tempoh ini akan menafikan kesukarannya, termasuklah Ezam Mohd Nor.

Perkiraan saya yang naif ini ketika itu, inilah yang paling sukar gamaknya. Pada ketika saya sudah memberi seluruh jiwa raga saya bagi menghadhami segala kesukaran perjuangan inilah saya mengambil keputusan paling drastik, meninggalkan Parti Keadilan Rakyat! Saya kemudiannya bersama Gerak sebagai Pengerusi Gerak Pahang dan Ahli Majlis Tertinggi Gerak Malaysia sebelum kembali ke kancah politik sebagai ahli PAS. Semasa bersama Geraklah Pilihan Raya Umum ke-12 diumumkan. Kita semua sudah tahu hasilnya. Bagi saya, Pakatan Rakyat pasca 8 Mac 2008 adalah pakatan yang menang, sekurang-kurangnya untuk lima negeri yang dikuasai (kemudiannya jadi empat).

Pakatan Rakyat menjadi pakatan pembangkang yang selesa di peringkat persekutuan dengan menguasai lebih dari satu pertiga kerusi parlimen, dan membentuk kerajaan pula di lima buah negeri (kemudiannya jadi empat). Rupa-rupanya sesusah mana sekalipun perjuangan memperolehi kemenangan besar tersebut, susah lagi kerja-kerja selepas itu, mengurus dan mempertahankannya!

Betapa tidak, PAS sejak dari berlalunya tarikh 8 Mac 2008 tidak habis-habis dirundung polemik. Dari isu muzakarah ke muqabalah, dari pertemuan sulit ke agenda kerajaan perpaduan, dari erdogan ke kepimpinan ulama, dari Nik Aziz ke Haji Hadi, dari wala’ ke isu pecat. Masa terbazir banyak hanya kerana memberi ruang kepada sesetengah pemimpin untuk melatah, yang bukannya mengubat tetapi semakin menambah musibat.

Begitu juga PKR, cuma polemiknya berbeza. Ada yang melompat, ada yang mengisytiharkan diri menjadi wakil rakyat bebas “mesra BN” (entah apa maksudnya, mesra duit BN?), ada yang keluar parti begitu-begitu sahaja.

Entahlah, mungkin betul juga kata sesetengah orang yang dalam Parti Keadilan ramai katak, dalam PAS ramai mengkarung. Jangan marah saya, ini kata orang, persepsi mereka dan politik seperti didefinisikan ramai orang adalah berkenaan persepsi, pengurusan politik pula adalah pengurusan persepsi.

Jangan cuba beralasan, alahhh... BN pun bermasalah juga, biasalah, mana ada rumahtangga yang aman sentiasa. Masalahnya BN itu siapa, mereka penguasa, media perdana di bawah pengaruh mereka, maka melalui media-media inilah mereka menguruskan persepsi rakyat. Hakikatnya, mereka telah berjaya menguruskan persepsi rakyat dengan cara ini selama 52 tahun, itu cara mereka mempertahankan kemenangan mereka selama ini.

Pakatan Rakyat pula menguruskan dengan cara apa? Seperti saya kata pengurusan politik adalah pengurusan persepsi. Bila sesebuah kumpulan politik itu berjaya memperolehi kuasa, maka persepsi rakyat ketika mereka memberi kemenangan dahulu haruslah dipastikan tidak berubah. Saya akui tampuk kuasa bukan sekadar citra, ia juga syurga dunia yang menghidang sejuta dugaan, lalu adalah yang tengah galak baru bergelar penguasa akan memandai membuat perancangan sendiri, membina agenda sendiri sehingga membelakangkan kumpulan besar yang dinamakan Pakatan Rakyat itu. Ini masalah dalaman, ia sepatutnya diuruskan secara dalaman.

Bila ada juga yang terkeluar kepada umum, menjadi tugas pemimpin-pemimpin yang menguruskan polemik inilah untuk memastikan persepsi rakyat ketika memberi kemenangan dahulu tidak tercalar. Sebagaimana kehendak Pakatan Rakyat yang mahukan rakyat terus menyokong mereka, mereka juga pada masa yang sama harus mencipta persepsi bahawa prinsip mereka masih sama dan mereka tegas dalam mempertahankannya, jika tidak 100 tahun yang diberikan Mahathir pun belum tentu cukup untuk menamatkan silat sendeng sesama sendiri, memukul kemudiannya mengelak.

Sudah sampai masanya saya kira ahli politik Pakatan Rakyat diprofesionalkan, mereka harus diajar dengan dua ilmu pengurusan, pertama pengurusan media dan kedua pengurusan konflik.


Wednesday, November 4, 2009

K'tan timbang tolak p'janjian Petronas

Kerajaan Kelantan sedang mengkaji kemungkinan membatalkan perjanjian menyerahkan hak cari gali kepada Petronas jika royalti petroleum tidak diberikan, kata exco ekonomi dan kewangannya.

Mengulas kenyataan perdana menteri untuk menyerahkan wang ehsan kepada Kelantan, Datuk Husam Musa berkata isu membatalkan perjanjian itu akan dikaji oleh panel peguam yang dilantik kerajaan negeri.

Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini sebagai reaksi segera Kelantan terhadap pengumuman Datuk Seri Najib Razak di Parlimen pagi ini.

Dalam satu kenyataannya, Husam turut mempertikaikan penggunaan istilah "wang ehsan" sebagai bentuk bayaran kepada Kelantan, sedangkan "bayaran royalti" digunakan untuk bayaran di Terengganu, Sabah dan Sarawak.

"Nyata asas yang disebut oleh perdana menteri mengenai (kedudukan lokasi cari gali di luar pesisiran pantai sejauh) 3 batu nautikal adalah tidak berasas bagi kes-kes Sabah, Sarawak dan Terengganu," katanya lagi.

"Ia sengaja digunakan untuk mendiskriminasikan kerajaan dan rakyat Kelantan."

Sehubungan itu, kata Husam, kerajaan negeri mahu wang ehsan dibayar terus kepada Kelantan dan sebuah badan penyelaras ditubuhkan yang turut dianggotai wakil kerajaan pusat untuk memantau penggunaan wang tersebut.

"Sekali lagi kami berharap perdana menteri berfikir semula dan mengambil kira tuntutan ini atas prinsip kesaksamaan, kedaulatan wilayah dan semangat federalisme yang utuh serta penghormatan perjanjian yang termaktub demi kesejahteraan dan keharmonian negara malaysia," katanya.

Mengenai penubuhan panel guaman tersebut, Husam berkata, antara isu yang dicadang dipertimbangkan oleh panel guaman ini ialah:

1. Kemungkinan mengambil tindakan mahkamah membatalkan perjanjian penyerahan hak kepada Petronas untuk mencari gali dan mengeluarkan sumber petroleum dan lautan negeri Kelantan 1975 jika sekiranya tuntutan royalti minyak tidak dipatuhi.

2. Kemungkinan untuk kerajaan negeri mengambil tindakan mahkamah di luar negara termasuk perintah injunksi menghentikan pengeluaran di JDA (Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand) dan CAA (Kawasan Pengurusan Komersial Malaysia-Vietnam) yang melibatkan entiti dan syarikat antabangsa.

"Walau bagaimanapun, keputusan muktamad akan ditentukan kemudian selepas pandangan daripada panel guaman tersebut," kata Husam lagi.

Dalam kenyataan itu juga, beliau turut mempersoalkan mengapa wang ehsan harus diurus oleh kerajaan pusat

"Pengumuman perdana menteri bahawa Kelantan hanya layak menerima 'wang ehsan' dan bukannya royalti dan wang ini pula akan diuruskan oleh kerajaan pusat, adalah satu keputusan politik.

"Ia membelakangkan semangat federalisme, kedaulatan undang-undang dan penghormatan terhadap perjanjian dan menekankan kepentingan politik semata-mata," katanya.

Di samping itu, tambahnya, keberkesanan pengurusan oleh kerajaan pusat juga boleh dipertikaikan.

"Sebagai bukti, dengan jumlah royalti yang besar untuk Terengganu bagi tempoh 20 tahun lalu, masih gagal membanteras kadar kemiskinan yang kekal tinggi di Terengganu," kata Husam.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat exco di Kota Bharu, Husam berkata kerajaan negeri mengambil langkah proaktif itu untuk memastikan tuntutan wang royalti itu berjaya.

"Kerajaan negeri tidak (dapat) menerima bayaran wang ehsan yang diumumkan hari ini bagi menggantikan bayaran wang royalti minyak kepada Kelantan," katanya dalam laporan Bernama.

Bagaimanapun, tambahnya, kerajaan negeri menganggap pemberian wang ehsan itu satu langkah pertama hasil inisiatifnya dalam tuntutan royalti minyak.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus mengadakan rundingan dengan kerajaan pusat berhubung tuntutan royalti itu.

Kelantan sebelum ini telah mengemukakan surat rasmi kepada kerajaan pusat bagi menuntut bayaran royalti minyak berjumlah RM1 bilion sejak 2004 berdasarkan laporan Jabatan Statistik.

Sumber : Malaysiakini.com

Rayuan Nizar esok, PAS Perak solat hajat malam ini

Rayuan Nizar esok, PAS Perak solat hajat malam ini

IPOH, 4 Nov: PAS Perak hari ini menyeru seluruh ahli parti itu mengadakan solat hajat berdepan keputusan siapa Menteri Besar perak yang sah yang bakal diputuskan Mahkamah Persekutuan esok.

Pesuruhjayanya, Ustaz Abu Bakar Hussain berkata, ianya bagi memohon pertolongan dari Allah agar memberi kemenangan kepada perjuangan Islam negeri itu.

Beliau juga telah mengeluarkan arahan kepada pimpinan PAS di semua kawasan agar menunaikan solat hajat malam ini.

"Saya mengarahkan kepada semua ahli PAS Perak disemua peringkat, supaya melakukan solat sunat hajat secara berterusan, mohon kepada Allah SWT agar diberi kemenangan dan kekuatan kepada PAS," katanya.

Solat hajat itu juga katanya bagi mendoakan keselamatan Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari sebarang perancangan jahat musuh.

Image"Semoga Allah SWT sentiasa membela, memelihara dan melindungi pejuang-pejuang PAS, dan semoga disatukan hati seluruh para pejuang Islam dan memfokuskan Matlamat Perjuangan PAS, iaitu menumbangkan kezaliman dan menegakkan Islam," katanya lagi.

22 Mei lalu, Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei yang telah memutuskan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Hakim Datuk Md Raus Shariff, yang bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop juga telah mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Nizar pada 19 Jun lalu bagaimanapun telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tersebut.

Tutut dipohon supaya kes membabitkan pertikaian Menteri Besar Perak itu di dengar oleh 11 hakim.

Ekoran itu Mahkamah Persekutuan telah membenarkan permohonan Nizar dan menetapkan rayuan didengar esok.

Sumber : Harakahdaily
Custom Search

PAS Bandar Seri Putra