Monday, May 23, 2011

HANYA 'MEMBELA' PEMIMPIN, BUKAN MEMBELA MELAYU

KENYATAAN MEDIA :
Khairi Jamaluddin Ketua Pemuda Umno mendakwa hanya Umno pembela melayu di negara ini. Lain daripada Umno, bukan pembela melayu. Persoalannya benarkah Umno pembela Melayu. Tidak malukah Khairi yang mendakwa bahawa umno pembela orang Melayu, hakikatnya umno hanya mengguna Melayu untuk membela pemimpin umno bukan bela Melayu jauh sekali untuk mengangkat agama di tempat yang sepatutnya.


Beliau juga menyebut fakta yang tidak betul ketika berucap di Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pontian di Dewan Besar Maktab Rendah Sains Mara(MSRM) Pontian yang mendakwa PAS ditubuhkan kerana Ustaz Haji Ahmad Fuad kalah menentang Datuk Onn Jaafar di dalam mesyuarat Agung Umno.

Fakta sebenar, bukan Ustaz Haji Fuad kalah melawan Dato' Onn Jaafar, tetapi tewas dengan dengan Tuanku Abdul Rahman merebut jawatan Yang Dipertua Umno. Seorang lagi calon ialah CM Yusuf. Khairi juga salah fakta mengenai perkara tersebut, kerana apa yang berlaku ialah tarikh pertandingan dalam umno ialah 25 Ogos 1951 sedangkan mesyuarat di kalangan ulamak untuk menubuhkan Pas kali kedua pada 23 Ogos 1951 di Padang Kelab Sultan Sulaiman. Mesyuarat ulamak dahulu daripada tarikh pertandingan Haji Ahmad Fuad dengan Tunku Abdul Rahman. Di manakah fakta beliau dapat?


Perlu diingatkan penubuhan PAS bukan kerana kecewa tidak mendapat jawatan dalam umno, tetapi kerana teguran ulamak mengenai isu agama tidak dipedulikan antaranya isu judi. Ulamak merasakan perlu menubuhkan badan yang bebas untuk memberi tekanan kepada umno dalam hukum agama.

Menjawab tuduhan yang mengatakan penubuhan PAS memecah belahkan perpaduan Melayu juga ditolak. Sebenarnya penubuhan Umno menyebabkan melayu berpecah, kerana sebelum Umno sudah ada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1945. Umno ialah parti restu penjajah, sebab itu Umno tidak diharamkan ketika Ordinan Dharurat 1948 walaupun semua parti diharamkan seperti PKMM dan Hizbul Muslimin.

Beliau mendakwa Melayu terbela di bawah umno?. Sudah 54 tahun merdeka, keadaan ekonomi jauh terkebelakang berbanding dengan China, India. Apa yang Umno lakukan untuk orang melayu sehingga tertinggal kebelakang. Bukankah 2/3 anggota kabinet orang melayu. Bukankah pegawai tertinggi orang melayu.

Maka jalan pintasnya untuk menutup bangkai gajah, maka Umno menuduh ini angkara bukan melayu dengan meniupkan sentimen kaum.

Di sini adalah sebahagian jawapan yang membuktikan umno gagal membela Melayu.

1. Umno menggunakan konsep "Umno Putera" bukan "Bumiputera", akhirnya yang ketinggalan orang melayu.
2.Apabila jawatan di dalam umno untuk mengaut keuntungan bukan untuk bela melayu, akhirnya mereka rebut harta, melayu merempat merata-rata.
3.Menindas sesama bangsa kerana berlainan ideologi walaupun dari segi merit dan kebolehan ada kepada orang Melayu contohnya dalam soal perniagaan.
4.Menafikan royalti kepada Kelantan walaupun Kelantan negeri majoriti Melayu.
5.Macam mana melayu hendak terbela, minyak yang sepatutnya mendarat di Kelantan sebaliknya dibawa ke pantai Songkla Siam walaupun jaraknya lebih jauh daripada pantai Kelantan. Jarak ke Kelantan hanya 150 kilometer, berbanding ke Songkla Thailan 270 kilometer.
6.Melesapkan RM52 bilion nilai saham bumiputera. Sepatutnya orang Melayu akan memiliki ekuiti bumiputera melebihi 40 peratus jika benar umno pembela Melayu.
7. Menyekat 118 projek pusat ke Kelantan sejak Rancangan Malaysia Kesembilan(RMK 9).
8. Menggadai tanah rezab Melayu 1.3 juta hektar. Penjajah Inggeris tinggal tanah rezab Melayu seluas 3 juta hektar selepas merdeka. Tahun 1995 tanah rezab Melayu hanya tinggal 1.3 juta hektar. Siapa punya angkara? Adakah ini dalil umno pembela Melayu.
9.Memperkenalkan sains dan metematik dalam bahasa Inggeris, melibatkan pelajar Melayu luar bandar dizalimi kerana kurang pasarana..
10. Menyalah guna hak keistimewaan orang Melayu untuk mendapat projek, kemudian mengagihkan kekayaan sesama kroni, akhirnya melayu terus ketinggalan dari segi taraf hidup.

Ini adalah sebahagian daripada bukti umno tidak boleh membela Melayu. Maka sampailah masanya PAS Ganti Umno. Pas terbukti dan teruji untuk membela Melayu berbanding dengan umno. Tuduhan DAP dan PKR mengkhianat Melayu sebagai strategi pencuri menjerit pencuri, supaya orang Melayu emosi untuk terus menyokong umno walaupun hakikatnya umno menjaga Melayu seperti serigala menjaga kambing.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS

KAJI KONSESI IPP, BUKAN NAIK TARIF ELEKTRIK

DARI: BULETINONLINE.NET

Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pentadbiran Najib mengkaji balik konsesi pengeluar tenaga bebas (IPP) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar tidak membebankan rakyat.

Kenyataan beliau dibuat berdasarkan beberapa kenyataan Menteri berkenaan kemungkinan kerajaan menaikkan tarif elektrik pada bulan Jun depan.

Anwar sudah sekian lama menegaskan sekitar RM22 bilion subsidi gas yang diberi kepada IPP tidak memberi makna kepada rakyat, sebaliknya ia hanya memberi keuntungan kepada ahli perniagaan dan kroni rapat dengan pemerintah.

“Sudah sekian lama negara kita dirompak jumlah wang yang besar, yang mampu digunakan untuk membendung inflasi serta membangun model industri lebih baik untuk rakyat.

“Berdasarkan perspektif ini, saya menggesa kerajaan pusat berlaku adil dengan menyemak semula harga dikenakan IPP ke atas Tenaga Nasional Berhad, termasuklah menggugurkan elemen harga tetap seumpama harga kapasiti bersedia dan kapasiti tetap yang mengakibatkan kos elektrik meningkat,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Anwar berkata, isu kenaikan tarif elektrik negara ini berkait rapat dengan perjanjian berat sebelah dipaksa ke atas TNB untuk dimeterai bersama dengan IPP terutamanya dengan pengeluar tenaga swasta generasi pertama.

Dalam kenyataannya, Anwar berkata bekas ketua pegawai eksekutif TNB Tan Sri Dr Ani Arope telah menyatakan kepada umum bahawa beliau tidak bersetuju dengan harga terlalu mahal dikenakan oleh IPP ke atas TNB di mana harga yang dicatatkan iaitu 13.7 sen sehingga 15.5 sen per kilowatt.

“Harga yang dikenakan IPP ke atas TNB adalah harga lebih mahal dari harga yang dihasilkan sendiri oleh TNB.

“Ini bermakna TNB dipaksa membeli elektrik pada harga yang tak sepatutnya. Malahan harga tersebut ditetapkan sebagaimana dalam perjanjian, sepanjang membekalkan tenaga tersebut, harga yang dikenakan ke atas TNB berubah menuruti kadar terdahulu sekali gus membolehkan IPP mengaut keuntungan yang besar lebih awal,” katanya lagi.

Bekas menteri kewangan itu berkata, perjanjian antara IPP dan TNB juga telah direka untuk memastikan IPP dilindungi daripada sebarang risiko kenaikan harga bahan api seumpama gas asli, diesel dan arang batu manakala jika berlaku kenaikan harga pada bahan api tersebut, maka TNB yang terpaksa menanggung beban.

“Akibat daripada perjanjian ini telah menyebabkan Petronas terpaksa mengeluarkan dan membeli gas asli pada harga yang lebih mahal dan kemudiannya menjualnya pula pada kadar harga subsidi yang tetap.

“Hakikatnya kos subsidi gas ini telah melonjak kepada RM22 bilion setahun.

“Justeru, dari perjanjian yang rumit dan berat sebelah inilah rakyat Malaysia terpaksa membayar tarif elektrik tinggi,” katanya.

Kata Anwar lagi, kos harga tenaga elektrik terpaksa dibayar TNB kepada IPP dan pengambilan untung pada kadar masa yang cepat oleh pihak berkenaan ternyata membebankan rakyat sama ada secara menaikkan tarif elektrik atau kerana kerugian kewangan akibat subsidi gas.

“Malangnya, sedangkan negara kita yang sememangnya memberi subsidi kepada sektor pengeluar tenaga melalui gas asli yang murah, itupun jika dibandingkan dengan negara jiran seumpama Thailand, tarif elektrik Malaysia ternyata masih tinggi, sungguhpun negara jiran itu membeli gas asli pada kadar harga semasa (pada masa ini harga semasa tersebut tiga kali lebih tinggi dari harga gas asli yang disubsidikan di Malaysia),” katanya lagi

Saturday, May 21, 2011

Jalan-Jalan Di Bandar Seri Putera Semuanya Di Turap Baru

Bandar Seri Putera, 29 Jamadil Akhir = 03 Mei (Selasa):

Pada masa Adun hadir kerana menziarah seorang pesakit pada petang 12 April (Selasa) lalu di Bandar Seri Putera, Adun dapati jalan-jalan utama (bukan dalam kawasan perumahan yang sedia elok) sedang giat diturap, begitu juga bila Adun datang pada 17 April dan hari ini selepas tiga minggu kehadiran pertama, kerana menziarah kematian seorang penduduk di sini sekali lagi Adun saksikan kerja-kerja menurap jalan masih berterusan dan sebahagian besar jalan-jalan utama elok, cantik dan selesa digunakan. Bukan setakat itu sahaja, traffic light contoh jalan masuk ke KUIS sudah berfungsi dengan baik. Begitu juga dengan tanda-tanda arah disempurrnakan oleh Syarikat Pemaju Perumahan Bandar Seri Putera, iaitu UM Land. Syukur kepada Allah dengan kemudahan dan kesempurnaan yang disediakan oleh Syarikat.

Walau bagaimana kerja-kerja yang dilakukan oleh Syarikat ini bukan semata-mata memperbaiki, tetapi bertujuan untuk menyerahkan pentadbiran infra-struktur di sini kepada pihak berkuasa tempatan, iaitu MPKj. Sebelum penyerahan pihak syarikat dikehendaki menyempurnakan segala syarat dan keperluan penyerahan, sebab itulah jalan dan semuakemudahan dibaiki dan disempurnakan oleh pihak syarikat. Walau apa pun ia adalah kemudahan yang dapat dinikmati penduduk yang seharusnya bersyukur.

Sementara itu jika pihak penduduk mendapati ada keperluan yang sepatutnya disempurnakan, tetapi tidak disempurnakan, pihak penduduk dapatlah menyampaikan aduan dan cadangan kepada pihak MPKj melalui Ahli MPKj setempat iaitu melalui Tuan Haji Mazwan Johar dan boleh juga aduan dimaklumkan kepada ADUN Bangi, khususnya berhubung dengan perkara yang berkait dengan negeri.

Sekian.

RM Satu Juta Permohonan Adun Bangi Untuk Membaiki Jalan Di Dun Bangi Lulus

Hasil dari retreat Adun-Adun biasa Pakatan Rakyat yang diadakan pada tahun lepas di Golden Palm Resort, Kuala Langat atas perbelanjaan sendiri – antara lain dari resolusi ialah memohon dari pihak kerajaan negeri Selangor memperuntukkan kepada setiap Adun bagi kawasan masing-masing peruntukan tahunan sebanyak RMi juta ringgit. Permohonan tersebut telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Selangor mulai tahun 2011. Kewangan digunakan dari peruntukan wang Maris. Setiap Adun diberi hak menentukan jalan yang mau diperbaiki di Dun masing-masing. Kebenaran juga diberi kepada Adun menentukan jalan-jalan kawasan kampong untuk dibaiki. Tiap Adun diminta membuat senarai jalan dan jangkaan perbelanjaan (peruntukan) sehingga berjumlah satu juta ringgit. Taklimat cara memohon juga diberi oleh bahagian Bendahari Negeri. Adun dikehendaki mengemukakan permohonan melalui PBT kawasan masing-masing jangan lewat dari akhir Mac 2011.
Pihak Adun Bangi telah mengemukakan permohonan dan menghantarkannya pada akhir Mac 2011 kepada MPKj dibawa oleh Tuan Haji Mazwan Johar Ahli MPKj di bawah Dun Bangi, tetapi pihak MPKj menolak proposal yang dihantar, kerana konon peruntukan hanya untuk taman, tidak termasuk kampong. Pihak pegawai di MPKj memaklumkan pihaknya telah membuat proposal sendiri dan mencadangkan hanya dua daripada cadangan Adun yang melibatkan taman dimasukkan ke dalam proposal yang disiapkan. Apabila Adun dimaklumkan mengenai cadangan pihak MPKj yang bercanggah dengan taklimat dari pihak kewangan negeri, Adun Bangi mengarah Tuan Haji Mazwan supaya mengambil balik permohonan Adun Bangi kerana kemungkinan akan berlaku penyelewengan dan bersifat kroni.
Adun mengarah kerani di Pejabat Adun menghantar sendiri dan menyerah secara tangan ke Pejabat Bendahari di Bangunan SSAAS pada 11 April 2011, walaupun sedikit lewat dari tempoh sebenar. Untuk mendapat kepastian tentang permohonan, maka Adun bertanya kepada Pejabat Bendahari Negeri pada 10 Mei 2011. Pihak Pejabat Bendahari memaklumkan bahawa kelulusan dan kewangan telah dihantar ke Pejabat MPKj pada hari Lawatan YAB Dato` Menteri Besar Selangor ke Hulu Langat pada 6 Mei, 2011. Al-Hamdulillah. Menurut Pegawai Kewangan Kanan di Pejabat Bendahari kelulusan menurut apa yang dipohon oleh Adun Bangi dan tidak diubah. Surat dan rumusan dari permohonan adalah sebagaimana di bawah.
SENARAI PERMOHONAN PROJEK JALANRAYA DAN INFRASTRUKTUR DI BAWAH DUN BANGI (Rumusan)

1. Cadangan Kerja-Kerja Menurap Semula Jalan Yang Rosak Di Jalan Menteri Dan Jalan Sentosa Di Sg Ramal Baru Sepanjang 4500 Meter
Razzel Enterprise No 21 Jalan Permai Satu Taman Permai 43000 Kajang
RM 126,000

2 Kerja-Kerja Menurap Jalan Di Jalan Kajang 6 Dan Kajang 2 Berhadapan Surau Al-Hikmah Taman Kajang Raya Sepanjang 4193 Meter Persegi Dan Jalan Berhadapan Surau Taman Jasmin 600 Meter Persegi Dan Taman Kenari 600 Meter Persegi
Monadz EnterpriseNo 11 Lorong Permai 1/1, Taman Permai, 43000 Kajang
RM 151,004

3 Cadangan Kerja-Kerja Menurap Semula Jalan Yang Rosak Di Jalan Rahmat 1 Kampung Teras Jernang Bangi Sepanjang 5000 Meter Persegi
Syarikat Norfeeda Lot 39, Jalan Cheras Batu 12, 43000 Kajang
RM 140,000

4 Cadangan Untuk Kerja-Kerja Menurap Jalan Dan Membina Longkang Di Kampung Bahagia Dan Kampung Bangi, Bangi Selangor
Lima Fitri Enterprise
Unit 2-20, Blok Mutiara D, Taman Desa Baiduri, 56000 Cheras
RM 198,270

5 Cadangan Untuk Kerja-Kerja Menurap Jalan Di Kampung Sg Tangkas, Bangi Selangor
Terasinar Enterprise
No 6, Jalan Intan 2, Taman Sri Nanding, 43100 Hulu Langat
RM 106,930

6 Cadangan Untuk Kerja-Kerja Menurap Jalan Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang
Shukur Bina Enterprise Zd2-17, Blok Zamrud D, Taman Desa Baiduri Batu 6, Cheras 56000 Selangor
RM 198,200

7 Kerja-Kerja Memecah Dan Menukar Longkang Yang Rosak Serta Membina Tembok Setinggi 2 Kaki Sepanjang 500 Meter Dan Kerja-Kerja Yang Berkaitan Dengannya Di Sepanjang Jalan Utama Kampung Teras Jernang, Bangi. Kerja-Kerja Mengganti Longkang Sepanjang 320 Meter Di Kg Aman, Bangi
Anje Enterprise No 46, Jalan 4/3, 43650 Bandar Baru Bangi
RM 103,000

Jumlah Keseluruhan
RM 1,023,404

Walau bagaimana adjustment dari segi jumlah peruntukan akan dilakukan, kerana anggaran yang dibuat mungkin tidak tepat. Adun mengarah pihak Ahli MPKj – Tuan Haji Mazwan Johar membuat pemantauan dan Adun juga akan memastikan apa yang dipohon akan diselenggarakan dengan sebaik mungkin, terutama pembaikan jalan di jalan-jalan kampong yang selama ini kurang diberi perhatian.
Sekian.

Utusan: PAS tidak akan sahut seruan Perkasa

KUALA LUMPUR, 20 Mei: PAS tidak akan menyahut seruan Perkasa untuk mempertahankan akhbar Utusan Malaysia yang kononnya akhbar orang Melayu.
“Layakkah akhbar Utusan Malaysia mewakili orang Melayu sedangkan etika laporan yang dilaporkan oleh akhbar tersebut tidak menepati ciri-ciri Melayu jauh sekali dengan ajaran Islam.
“Tepatnya akhbar ini ialah Utusan Umno, bukan mewakili suara orang Melayu,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.
Katanya, pemberitaan yang dilaporkan lebih kepada provokatif dan fitnah.
Tambahnya, terbaru dengan berita yang sensasi kononnya Malaysia akan menjadi negara Kristian seperti yang disiarkan oleh akhbar tersebut pada 7 Mei lalu.
“Menyiarkan berita untuk membangkitkan emosi orang Islam, sekiranya tidak kena gaya negara boleh terbakar tetapi alhamdulillah PAS berjaya menenangkan keadaan umat Islam,” katanya.
Menurutnya, Utusan beruntung kerana mereka kebal dari tindakan undang-undang.
Katanya, rakyat Malaysia tentu masih ingat, Suara Keadilan yang menyiarkan berita Felda bankrap, terus diberi amaran dan permit digantung.
Tegasnya, Utusan Malaysia tidak layak mewakili suara orang Melayu, kerana budaya Melayu tidak menerima unsur lucah dan fitnah.
“Melayu yang dikaitkan mesti beragama Islam, sudah tentu tidak boleh menerima tatacara budaya seperti ini,” katanya.
Custom Search

PAS Bandar Seri Putra