Wednesday, November 18, 2009

Menguruskan kemenangan

Menguruskan kemenangan
Zukri Aksah

Mempertahankan apa yang diperolehi lebih sukar dari usaha memperolehinya. Dahulu saya hanya percaya premis ini sekadar satu teori. Apabila saya berjaya melangkah kaki ke universiti, saya dapati yang susahnya adalah untuk sampai ke sana, bila sudah bergelar mahasiswa pandai-pandailah jaga diri, untuk tercampak keluar semula dari menara gading adalah sesuatu yang mustahil bagi saya, kecuali anda bodoh dalam menguruskan diri sendiri. Pengalaman peribadi saya ketika itu menidakkan teori di atas.

Dalam dua dekad ke belakang ini (1990 – 2009), hidup saya hanya boleh dibahagikan kepada dua bahagian, bahagian pertama sebagai warga kampus (dari matrikulasi ke ijazah pertama) dan bahagian kedua pula sebagai politikus.

Tanggal 4 April 1999 saya mula menggauli politik, mendaftar sebagai ahli Parti Keadilan Nasional (kini Parti Keadilan Rakyat). Bermula 1999 hingga 2007 saya menjadi ahli politik, seorang politikus yang aktif juga. Tempoh itu adalah tempoh perjuangan, perjuangan berusaha memperolehi kemenangan. Ia sememangnya tempoh yang sukar, saya percaya tidak seorang pun yang pernah mencium bau reformasi di ketika tempoh ini akan menafikan kesukarannya, termasuklah Ezam Mohd Nor.

Perkiraan saya yang naif ini ketika itu, inilah yang paling sukar gamaknya. Pada ketika saya sudah memberi seluruh jiwa raga saya bagi menghadhami segala kesukaran perjuangan inilah saya mengambil keputusan paling drastik, meninggalkan Parti Keadilan Rakyat! Saya kemudiannya bersama Gerak sebagai Pengerusi Gerak Pahang dan Ahli Majlis Tertinggi Gerak Malaysia sebelum kembali ke kancah politik sebagai ahli PAS. Semasa bersama Geraklah Pilihan Raya Umum ke-12 diumumkan. Kita semua sudah tahu hasilnya. Bagi saya, Pakatan Rakyat pasca 8 Mac 2008 adalah pakatan yang menang, sekurang-kurangnya untuk lima negeri yang dikuasai (kemudiannya jadi empat).

Pakatan Rakyat menjadi pakatan pembangkang yang selesa di peringkat persekutuan dengan menguasai lebih dari satu pertiga kerusi parlimen, dan membentuk kerajaan pula di lima buah negeri (kemudiannya jadi empat). Rupa-rupanya sesusah mana sekalipun perjuangan memperolehi kemenangan besar tersebut, susah lagi kerja-kerja selepas itu, mengurus dan mempertahankannya!

Betapa tidak, PAS sejak dari berlalunya tarikh 8 Mac 2008 tidak habis-habis dirundung polemik. Dari isu muzakarah ke muqabalah, dari pertemuan sulit ke agenda kerajaan perpaduan, dari erdogan ke kepimpinan ulama, dari Nik Aziz ke Haji Hadi, dari wala’ ke isu pecat. Masa terbazir banyak hanya kerana memberi ruang kepada sesetengah pemimpin untuk melatah, yang bukannya mengubat tetapi semakin menambah musibat.

Begitu juga PKR, cuma polemiknya berbeza. Ada yang melompat, ada yang mengisytiharkan diri menjadi wakil rakyat bebas “mesra BN” (entah apa maksudnya, mesra duit BN?), ada yang keluar parti begitu-begitu sahaja.

Entahlah, mungkin betul juga kata sesetengah orang yang dalam Parti Keadilan ramai katak, dalam PAS ramai mengkarung. Jangan marah saya, ini kata orang, persepsi mereka dan politik seperti didefinisikan ramai orang adalah berkenaan persepsi, pengurusan politik pula adalah pengurusan persepsi.

Jangan cuba beralasan, alahhh... BN pun bermasalah juga, biasalah, mana ada rumahtangga yang aman sentiasa. Masalahnya BN itu siapa, mereka penguasa, media perdana di bawah pengaruh mereka, maka melalui media-media inilah mereka menguruskan persepsi rakyat. Hakikatnya, mereka telah berjaya menguruskan persepsi rakyat dengan cara ini selama 52 tahun, itu cara mereka mempertahankan kemenangan mereka selama ini.

Pakatan Rakyat pula menguruskan dengan cara apa? Seperti saya kata pengurusan politik adalah pengurusan persepsi. Bila sesebuah kumpulan politik itu berjaya memperolehi kuasa, maka persepsi rakyat ketika mereka memberi kemenangan dahulu haruslah dipastikan tidak berubah. Saya akui tampuk kuasa bukan sekadar citra, ia juga syurga dunia yang menghidang sejuta dugaan, lalu adalah yang tengah galak baru bergelar penguasa akan memandai membuat perancangan sendiri, membina agenda sendiri sehingga membelakangkan kumpulan besar yang dinamakan Pakatan Rakyat itu. Ini masalah dalaman, ia sepatutnya diuruskan secara dalaman.

Bila ada juga yang terkeluar kepada umum, menjadi tugas pemimpin-pemimpin yang menguruskan polemik inilah untuk memastikan persepsi rakyat ketika memberi kemenangan dahulu tidak tercalar. Sebagaimana kehendak Pakatan Rakyat yang mahukan rakyat terus menyokong mereka, mereka juga pada masa yang sama harus mencipta persepsi bahawa prinsip mereka masih sama dan mereka tegas dalam mempertahankannya, jika tidak 100 tahun yang diberikan Mahathir pun belum tentu cukup untuk menamatkan silat sendeng sesama sendiri, memukul kemudiannya mengelak.

Sudah sampai masanya saya kira ahli politik Pakatan Rakyat diprofesionalkan, mereka harus diajar dengan dua ilmu pengurusan, pertama pengurusan media dan kedua pengurusan konflik.


No comments:

Post a Comment

Custom Search

PAS Bandar Seri Putra