Tuesday, July 7, 2009

MANIK URAI




KUALA KRAI, 7 Julai - Seawal jam 6.30 pagi, penyokong-penyokong Pakatan Rakyat telah berpusu-pusu menuju ke Masjid Mukim Kuala Krai untuk bersama-sama menunaikan solat dhuha dan solat hajat yang diimamkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berserta pimpinan yang lain.

Meskipun terdapat arahan polis yang menghadkan bahawa hanya 500 orang sahaja yang dibenarkan berada di masjid dan sekitarnya, namun para penyokong tidak mengendahkannya.

Menurut salah seorang petugas PAS daripada Kota Bharu, masjid-masjid sekitar bandar tersebut dipenuhi petugas dan penyokong daripada luar yang datang menginap bagi menyertai perarakan sempena penamaan calon.

Senario tersebut menyebabkan masjid dan surau mengalami kesesakan sehingga menyebabkan tekanan air turut menjadi perlahan.

Jalan-jalan raya mulai menjadi sesak setelah trafik sejauh 10 km berpusu-pusu menuju ke pusat penamaan calon. Para pengguna menjadi begitu ghairah dengan kehangatan suasana penamaan dengan mengibarkan bendera pada kenderaan.

Setibanya di perkarangan pusat penamaan tersebut, kelihatan penyokong Umno yang mengenakan pakaian baju kebaya dan kurung bertemakan warna merah dan biru, yang kemudiannya menyarungkan pula kemeja-t lengan panjang dalam cuaca yang agak panas dan terik.

Sementara menanti proses penamaan selesai, penyokong-penyokong kedua-dua pihak menjalankan pelbagai aktiviti termasuklah melaungkan slogan dan propaganda masing-masing. Malah terdapat persembahan gendang oleh Kelab Penyokong PAS daripada kaum India, dikir barat, selain alunan zikir, salawat dan sebagainya.

Permandangan di bahagian lawan yang rata-rata lesu, meskipun kehadiran pemimpin nombor dua parti itu, Tan Sri Muhydin Yasin beserta Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin dan beberapa menteri kabinet seperti Dato' Dr Ng Yen Yen, Dato' Rais Yatim dan beberapa menteri besar turun padang.

Menurut sumber, Muhiyidin menaiki helikopter dan mendarat di padang sekolah Menengah Teknik berhampiran pusat penamaan calon. Malah kedudukan pusat tersebut juga tidak jauh daripada Bangunan Umno di Kuala Krai.

Kehadiran penyokong Pakatan Rakyat yang dikatakan berjumlah 10,000 berbanding Umno-BN yang hanya sekitar kira-kira 2,000 sahaja memberi suatu gambaran kepada pengundi mengenai petanda awal terhadap perjalanan dan situasi kempen pilihan raya kecil ini.

Jika pihak Umno mennganggap bahawa Manek Urai ini merupakan titik permulaan ke arah perubahan parti itu, maka sesuatu harus dilakukan.

Apa yang jelas, kehadiran pasukan keselamatan di kawasan penamaan banyak membantu memudahkan proses penamaan dijalankan, apatah lagi tiada provokasi berlaku.

Ini dapat dilihat apabila penyokong Pakatan Rakyat dapat mengadakan mini ceramah berhampiran perkarangan pusat penamaan calon bagi mengisi ruang masa sambil menanti keputusan penamaan diumumkan.

Kebijaksanaan susun atur pergerakan dan pengisian sepanjang proses penamaan ini menunjukkan bahawa kepimpinan Pakatan Rakyat teliti dan mementingkan aspek kefahaman serta peneguhan bagi mengekalkan sokongan serta keyakinan ahli dan penyokong untuk terus mengekalkan kepimpinan yang sedia ada di Kelantan.




No comments:

Post a Comment

Custom Search

PAS Bandar Seri Putra