Yang Amat Berhormat
Datuk Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia
Jabatan Perdana Menteri
Bangunan Perdana Putra
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502 PUTRAJAYA
Assalamualaikum WM WB.
Semoga YAB. Dato’ Seri sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan beroleh petunjuk yang berpanjangan dari Allah SWT dalam memimpin Negara.
YAB Dato Seri,
Cadangan Mengadakan Debat Ilmiah Isu UMNO Parti Menolak Islam
Dengan segala hormatnya, di maklumkan bahawa saya ada menerima khabar tentang laporan polis yang dibuat oleh anak buah di Kelantan Dato’ Seri berhubung dengan perkara di atas.
Pada dasarnya, saya lebih banyak berlapang dada. Mengikut laporan, kononnya saya telah menghasut dengan mengatakan bahawa UMNO sebuah parti yang sesat. Di sini, izinkan saya tegaskan sekali lagi bahawa “mana-mana faham yang menolak Islam (termasuk UMNO) – sememangnya kita panggil ajaran sesat”. (lihat Utusan Malaysia muka surat 6, 27 Jun 2009).
Sebagai penjelasan, mari kita mulakan begini. Pertama, dunia ini bukan dibuat oleh manusia atau terjadi sendiri. Ia ada penciptanya dan tuannya yakni Allah. Oleh sebab itulah kita tidak boleh buat pandai-pandai, melebihi dari apa yang menjadi kehendak “Tuan Punya” yang menjadi tuan rumah kepada seluruh alam ini.
Kedua, al-Quran menetapkan bahawa manusia, tanpa mengira bangsa , bahasa dan keturunan adalah menjadi khalifah-Nya. Kepada manusia pertama iaitu Adam ‘alaihissalam, Allah SWT telah menetapkan bahawa sebarang perbalahan yang berlaku di antara anak buah kamu (lihat sebahagian surah al-Baqarah Ayat 36) akan menjadi reda dan tenang (lihat pula sebahagian Surah al-Baqarah Ayat 38)sekiranya kamu menuruti hidayah-Ku.
Atau, maksud kedua-dua perkara ini ada dirangkumkan dengan penuh didalam surah Thoha yang bermaksud, “Allah berfirman:turunlah kamu berdua dari syurga bersama-sama , sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Maka, jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, lalu barangsiapa yang mengikuti petunjuk dari-Ku, ia tidak akan sesat dan celaka.”(Lihat surah Thoha Ayat 123). Ini adalah benda yang menjadi tugas utama yang amat penting para Nabi sejak daripada zaman berzaman termasuk Nabi Muhammad SAW.Nabi SAW mewajibkan kita membaca Fatihah dalam sembahyang.
Pegangan Umno yang menolak jalan yang lurus inilah yang saya ertikan sebagai boleh membawa kepada perpecahan dan kesesatan. Menyamakan atau membandingkan ajaran Ayah Pin atau komunis dengan UMNO yang menolak Islam adalah sekadar mematuhi kaedah al-balaaghah. Ini penggunaan perumpamaan atau kiasan semata-mata. Jauh dari segi maudhu’, ia bertujuan untuk menjelaskan bagaimana aliran asal sekularisme yang menolak agama khususnya Islam dari pemerintahan. Ini punca sebenar atau ibu kepada segala kesesatan. Apabila sekularisme itu adalah faham yang sesat, maka tidakkah faham kebangsaan yang merupakan cabang dari ajaran sekular bawaan Parti Kebangsaaan Melayu Bersatu (UMNO) itu juga turut sesat?
Seperti yang kita sedia maklum, perdebatan diterima oleh Islam dan diterima oleh demokrasi. Ia perkara fitrah dan perkara sedunia. Contoh terdekat ialah perdebatan antara Obama dengan saingan beliau dari parti Republikan. Begitu juga dengan debat antara calun-calun Presiden Indonesia terkini yang sedang berlangsung di Jakarta yakni antara regu Susilo Bambang Yudhono/Boediono, Megawati Soekarnoputri/Prabowo Subianto dan Jusuf Kalla/Wiranto.
Jika di Eropah dan negara negara demokrasi yang lain, debat lebih ditumpukan kepada perkara-perkara cabang yang bersifat keduniaan semata-mata maka apa salahnya jika kali ini kita perbahaskan perkara pokok yang menyentuh aqidah? Masalah yang saya bawa ini adalah perkara aqidah yakni persoalan tunjang yang menyentuh kedua-dua kepentingan secara bersekali, dunia dan akhirat.Jika tidak betul aqidah, sembahyangpun tidak diterima.
Dunia demokrasi yang sekular; mana ada pedulikan masalah aqidah dan persoalan “sesat tak sesat”? Soal sesat atau tidak, ini istilah ugama. Ini bukan isu perlembagaan dan undang-undang.Sesat seperti yang terdapat di hujung surah al-Fatihah (adho- Lliin) bererti dholalah yakni tidak bertemu atau berjumpa jalan.Kita perlu sama-sama sedar bahawa jalan yang boleh diharap hanyalah jalan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Ini persoalan “huda llil muttaqiin” yakni jalan yang menjadi petunjuk bagi mereka yang bertaqwa (lihat sebahagian maksud al-Baqarah Ayat 2). Tak turut jalan inilah apa yang dipanggil sesat. Tidak timbul sama sekali soal menghasut atau mencetuskan keresahan. Ini isu ugama sepenuhnya. Ini persoalan teguran dan dakwah.
Demi mencari kejernihan dan menghentikan polemik, saya mohon mencadangkan sebuah debat ilmiyyah dianjurkan dalam tempoh terdekat kearah menjelas dan merungkai segala kemusykilan dari kedua-dua perspektif parti bertajuk “kerana apa Umno tolak Islam dan kerana apa Umno lawan PAS”; tidak lebih daripada itu.
Insya Allah, saya bersedia untuk bersama Dato’ Seri Perdana Menteri dalam majlis berkenaan tanpa meletakkan sebarang syarat. Lantiklah mana-mana mufti atau salah seorang sarjana yang faqih lagi amanah, baik dari dalam mahupun luar Negara untuk menjadi pemudah cara yang adil bagi tujuan ini. Tempat yang sesuai boleh ditetapkan oleh pihak Dato’ Seri, baik di Kuala Lumpur atau di mana-mana. Hari dan masa juga adalah mengikut kelapangan dan keselesaan YAB.
Saya boleh mematuhi kepada apa jua ketetapan asalkan Dato’ Seri bersedia untuk bersama dalam sebuah rapat ilmiyyah untuk dibuat siaran langsung demi manfaat Negara.Seluruh rakyat akan menjadi hakim di atas pelbagai sandaran yang saya maksudkan ketika mengatakan apa yang telah saya sebut mengenai fenomena UMNO dengan persoalan kesesatan ini.
Jadi, sekali lagi saya dengan ikhlas mengangkat cadangan ini agar sudilah apa kiranya YAB. Dato Seri menerima pelawaan ini mengikut kesesuaian tarikh Dato” Seri demi kebaikan bersama.
Semoga diizinkan Allah. Terima kasih, Wasalam.
Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
No comments:
Post a Comment