Friday, October 16, 2009

90,000 perlu kediaman di Padang

JAKARTA: Kira-kira 90,000 keluarga dilaporkan masih tiada tempat tinggal dua minggu selepas kejadian gempa bumi berukuran 7.9 skala Richter melanda Padang di Sumatera Barat ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berikrar untuk memperuntukkan AS$38 juta (RM133 juta) bagi membantu mangsa.

Masalah kediaman terus menjadi masalah besar, kata Ketua Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BKPM), Syamsul Maarif, ketika keperluan asas mangsa gempa seperti air minuman, tenaga, elektrik dan telekomunikasi sudah dipenuhi.

“Kira-kira 90,000 keluarga tidak mempunyai tempat perlindungan. Kami akan penuhi dua pertiga daripada keperluan tempat tinggal sehingga hujung minggu ini,” kata Syamsul selepas menghadiri mesyuarat Kabinet mengenai bencana berkenaan bersama Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

“Bagi mangsa berkenaan, gabenor mula mengedarkan peralatan kepada penduduk supaya boleh digunakan bagi membina sendiri penempatan mereka sehingga rumah mereka siap dibaiki.

“Saya melihat sendiri bagaimana penduduk di sana membina penempatan daripada runtuhan rumah mereka,” katanya.

Syamsul berkata agensi berkenaan sebenarnya sudah menyediakan khemah mudah alih untuk digunakan sebagai penempatan sementara bagi kumpulan besar mangsa gempa. Tetapi, mangsa enggan menggunakannya sebaliknya meminta penempatan keluarga secara individu.

Setiausaha Rendah PBB bagi Penyelaras Bantuan kecemasan dan Krisis Kemanusiaan, John Holmes yang melawat Sumatera Barat Rabu lalu bersetuju mangsa gempa memerlukan penempatan berikutan beribu-ribu rumah rosak teruk.

“Kami akan membantu kerajaan menyediakan sejumlah besar khemah,” kata pegawai PBB itu kepada The Jakarta Post, kelmarin,” katanya.

PBB meminta masyarakat antarabangsa menyumbang AS$38 juta bagi usaha bantuan segera di wilayah yang musnah itu.


- Agensi

No comments:

Post a Comment

Custom Search

PAS Bandar Seri Putra